
PAKA, 22 Mei - Hari ini, Tadika Al Husna menganjurkan sukan tahunannya yang diadakan di
Kompleks Sukan Perumahan TNB Paka bermula jam 8.45 pagi. Ia dirasmikan oleh Hj Zulkifli bin Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tadika Al Husna. Dalam ucapannya, Hj Zulkifli menekankan pentingnya pendidikan awal kepada anak anak kecil dan peranan yang dimainkan oleh JIM untuk terus membantu masyarakat menghayati Islam. Kemudian disusuli dengan acara perbarisan masuk oleh anak anak didik Tadika Al Husna yang dibahagikan kepada tiga rumah sukan iaitu Biru, Merah dan Kuning.


Sebanyak 10 acara diadakan dan sambutan sangat meriah daripada anak anak juga ibu bapa yang hadir. Pelbagai celoteh anak anak memeriahkan suasana sukaneka ini. Turut diadakan ialah acara cabutan bertuah kepada ibu bapa yang hadir.
Ibu bapa yang hadir juga mengambil kesempatan ini untuk bersantai di tepi padang sambil menyaksikan anak anak mereka menyertai acara sukaneka.
Keputusan untuk tahun ini, Johan telah dimenangi oleh Rumah Biru, tempat kedua oleh rumah Merah dan tempat ketiga oleh Rumah Kuning. Semua hadiah disampaikan oleh Hj Zulkifli Ali. Tadika Al Husna mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang menjayakan sukaneka tahunan pada kali ini terutamanya para guru dan ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus melaksanakan segala persiapan. Tidak dilupakan juga kepada ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada Tadika Al Husna.


Sukaneka berakhir sekitar jam 11.00 pagi. Pada hari Ahad ini (24 Mei 2009) adalah cuti peristiwa untuk hari sukaneka yang berlangsung hari ini.
Tadika Al Husna (TAH) adalah sebuah tadika milik JIM Dungun.Ianya telah ditubuhkan sejak tahun 1990 lagi dan masih lagi beroperasi di Paka. Ia dikendalikan oleh Puan Aini bt Ngah yang juga isteri kepada Yang Dipertua (YDP) JIM Dungun, Tuan Hj Zulkifli Ali.










